Saturday, November 13, 2010

Putrajaya City Planning

Posted on November 13, 2010

Pengenalan.

  Putrajaya adalah merupakan sebuah bandar yang dikenali melalui senibina bangunannya dan lanskap yang indah selain fungsinya sebagai sebuah pusat pentadbiran negara Malaysia. Putrajaya tercipta apabila Kerajaaan Malaysia mahu mewujudkan sebuah pusat pentadbiran baru dan meninggalkan Kuala Lumpur sebagai pusat komersil dan kewangan negara. 
Terbahagi kepada dua kawasan utama iaitu Kawasan Teras dan Kawasan Pinggir. Dimana di Kawasan Teras yang merangkumi keluasan seluas 1069 hektar, dibahagikan kepada lima Percint yang dinamakan sebagai Precint Kerajaan, Percint Komersil, Persint Sivik dan Kebudayaan, Persint Pembangunan Campuran dan Persint Rekreasi dan Sukan.Dihubungkan dengan jalan utama  sejauh 4.2km.Kawasan Teras ini bakal menjadi sebuah kawasan utama bagi acara-acara sambutan peringkat kebangsaan, festival dan acara kebudayaan.
  Kawasan pinggir Putrajaya mengandungi 15 kawasan dengan saiz-saiz pelbagai. 12 daripada 15 kawasan ini membentuk kawasan kediaman. Perancangan dan reka bentuk kawasan kediaman Putrajaya berlandaskan satu identiti pusat tumpuan, pelandskapan dan rawatan alam untuk orang ramai. Sejumlah 67,000 buah rumah julat berbeza-beza, saiz-saiz, jenis dan ketumpatan telah dirancang untuk semua sektor.
Mengikut Perancangan Struktur, Putrajaya dibangunkan untuk memenuhi kriteria berikut:
  1) Bandar Pintar
  2) Bandar Dalam Taman
  3) Pusat Pentadbiran Negara
  4) Sebuah bandar yang dikawal dan dijaga fizikalnya
  5) Sebuah bandar dengan persekitaran hidup yang berkualiti tinggi
  6) Sebuah bandar yang mengutamakan pengangkutan awam.

Konsep.

  Konsep bandar ini adalah sebagai sebuah ‘Bandar Pintar’ dan ‘Bandar Dalam Taman’. Sebagai contoh, didalam konsep Bandar Dalam Taman, Putrajaya merupakan sebuah bandar yang memulihara eko sistem melalui perancangan landskapnya sambil mempromosikan kehidupan yang aktif.
Konsep Bandar Dalam Taman adalah berkaitan dengan perkara berikut:
  1) Bentangan
    i)  satu paksi rasmi berselang-seli dengan ciri-ciri berbuku
    ii) satu kepelbagaian bidang-bidang kegiatan tidak rasmi dan rasmi.
  2) Landskap
    i)   38 peratus tanah dikategorikan sebagai kawasan hijau.
    ii)  perhutanan semula
    iii) mencipta satu rangkaian ruang-ruang terbuka.
  3) Rekabentuk Urban.
    i)   direka untuk menyesuaikan topografi, iklim tempatan dan norma-norma kebudayaan
    ii)  mengoptimumkan pandangan panoramik indah
    iii) kewujudan bangunan-bangunan pintar dengan ciri-ciri infrastruktur.
  4) Wawasan.

Putrajaya tercipta dengan beberapa ideologi mudah: (berdasarkan Doktrin Perancangan)
    i)   Manusia dan PenciptaNya
    ii)  Manusia dan Manusia
    iii) Alam dan Manusia

Bandar Pintar.

  Putrajaya diolahkan sebagai salah satu daripada dua ‘bandaraya pintar’ di bawah projek Koridor Raya Multimedia. ianya merupakan sebuah kawasan 15km x 50km dan diduduki oleh pihak syarikat yang mengusahakan produk berteknologi tinggi, sama seperti versi Silicon Valley di Carlifornia, Amerika Syarikat.
Komponen utama bagi koridor raya multimedia ini ialah kerana pertalian antara Pusat Bandar Raya Kuala Lumpur, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur , Cyberjaya Dan Putrajaya yang terikat oleh satu rangkaian gentian optik yang menyediakan penghubung komputer. Oleh kerana lokasi Putrajaya yang diletakkan sebagai pusat bagi zon ini, penduduk-penduduk boleh mengharapkan akses Internet berkelajuan tinggi dengan kemudahan-kemudahan lain, sejajar dengan konsep kerajaan elektronik.
Sebuah lagi Bandar Pintar adalah Cyberjaya yang merupakan jiran kepada Putrajaya dimana disini, segala kajian dan pembangunan mengenai teknologi maklumat dilakukan.

Garis Panduan Pembangunan.

  Untuk mendirikan sesuatu bangunan di sini, beberapa garis panduan haruslah ditetapi. Antaranya ialah:
   1) Garispanduan rekabentuk bandar 
   2) Garispanduan pengurusan ‘stormwater’
   3) Garispanduan rekebentuk pengangkutan
   4) Garispanduan pengurusan alam sekitar
   5) Garispanduan sistem saliran
   6) Garispanduan rekabentuk iklan dan papan tanda
   7) Garispanduan pengurusan tasik.

Konsep Rekabentuk.

 Untuk memenuhi objektif kepada perancangan asal Putrajaya, 10 konsep rekabentuk sivik telah diambil kira dalam perancangan Precint Kerajaan, iaitu:
  1) Organisasi dan orientasi
  2) Kawasan lapang dan tanah
  3) Sirkulasi kenderaan
  4) Tempat letak kenderaan
  5) Permulaan alamat dan perkhidmatan
  6) Pengangkutan awam
  7) Ketinggian bangunan
  8) Mercutanda dan kawasan-kawasan menarik
  9) Sirkulasi kenderaan
  10) Fasa pembangunan.

Dimana, didalam nota perancangan asal dinyatakan bahawa :
  1) Aspek-aspek di atas yang membentuk struktur dan asas kepada pelan pelan yang lebih komprehensif dengan mengambil kira bentuk, fungsi dan prinsip-prinsip estetika. Yang mana hasil daripada itu dapat menggambarkan konsep keseluruhan Precint Kerajaan.
  2) Organisasi dalam Precint Kerajaan ditentukan selanjutnya mengikut sususan fizikal berdasarkan hierarki jabatan kerajaan, sensitiviti budaya dan pendedahan awam. 
  3) Lokasi dan orientasi bangunan perlu berkait rapat dengan lokasi, keaddan fizikal, kebudayaan dan mercutanda seperti Masjid Putra, mercutanda, Dataran Putra, Jambatan Putra dan Taman Botani.
  4) Perancangan dan jalan masuk0keluar ke tempat-tempat istimewa seperti Taman Putra Perdana dan kemudahan VIP memerlukan perancangan yang lebih teliti meliputi aspek keselamatan, perkhidmatan, telekomunikasi dan keperluan budaya masyarakat setempat dan antarabangsa.
  5) Nisbah Plot dalam Precint Kerajaan adalah 1.4 untuk parcel-parcel Kerajaan dan 2.3 untuk parcel-parcel Komersil. Nisbah plot ini akan memastikan bahawa pembangunan dalam precint ini akan dikekalkan pada densiti yang rendah dan sederhana.

Kedudukan Bangunan.

  Daripada pembahagian dua kawasan yang telah dinyatakan (kawasan teras dan kawasan pinggir) Putrajaya dengan sendirinya telah terbahagi kepada beberapa bahagian.Daripada pemerhatian saya, terdapat beberapa bahagian di sini. Antaranya ialah:
1) Kawasan Bangunan Pentadbiran. (kawasan teras)
2) Kawasan Perumahan (kawasan pinggir)
3) Kawasan Rekreasi dan Hiburan.(kawasan teras)

Kawasan Bangunan Pentadbiran.

  Terbahagi kepada beberapa kawasan yang dipanggil sebagai Presint. Di sini, terdapat dua bahagian kawasan tersebut. Di Persint 2 dan Pusat Pentadbiran Kerajaan Pusat. Dimana, di Persint 2 atau yang dipanggil sebagai Pusat Bandar, diletakkan sebaris bangunan kompleks seperti bangunan Kementerian Kewangan, Istana Kehakiman (Palace Of Justice) dan Wisma Putra. Manakala Di Pusat Pentadbiran Kerajaan Pusat pula, diletakkan bangunan di dalam bentuk sebuah bulatan besar. Dan dibahagi kepada beberapa bangunan ataupun dipanggil Parcel seperti Parcel E yang mempunyai bangunan Kementerian Pelajaran Malaysia, Kementerian Kesihatan & Kementerian Pengajian Tinggi.
  Mengapakah bangunan ini diletakkan sebegitu? ini adalah untuk memudahkan para pengunjung untuk berurusan di sini. Di Putrajaya juga digalakkan para pengunjung untuk menggunakan kemudahan Park & Ride dimana pengunjung hanya perlu meletakkan kenderaan mereka di tempat yang telah disediakan dan menggunakan khidmat pengangkutan bas yang disediakan. 
Dari segi senibinanya, jelas sekali bangunan disini dikawal dari segi rupa luarannya agar menyamai ‘standard’ yang telah ditetapkan. Kebanyakkan bangunan disini diserlahkan dengan rupa senibina moden seperti yang dapat dilihat pada bangunan Kementerian Kewangan. Selain daripada itu, terdapat juga unsur unsur senibina Timur Tengah yang diketengahkan seperti yang dapat dilihat melalui binaan kubah gaya masonry pada Jabatan Perdana Menteri dan Palace Of Justice (Istana Kehakiman).
  Namun terdapat satu kelemahan pada Bangunan-Bangunan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Pusat dimana kepada para pengunjung yang tidak menggunakan kemudahan Park & Ride, kemudahan untuk meletakkan kenderaan adalah agak sukar. Tidak disediakan tempat meletak kenderaan pada kompleks-kompleks ini melainkan hanya untuk kepada pekerja dan staff bangunan tersebut melalui pas yang telah disediakan.
Di dalam perancangan asal Putrajaya ada dinyatakan perkara bahawa ianya bakal menjadi sebuah bandar yang mengutamakan pengangkutan awam, tetapi jelas sekali, masyarakat belum bersedia ke arah tersebut. Ataupun, adakah ianya satu sistem yang gagal diterapkan dan disampaikan kepada rakyat Malaysia.

Kawasan Perumahan
(kawasan teras & pinggir)

  Kawasan perumahan disini diletakkan secara rawak melalui rancangan asal pembangunan disini. Beberapa kawasan perumahan dapat dilihat disekitar Presint 7, 14 & 18. Sebagai contoh, di Presint 7, para penduduk diletakkan berasingan daripada Kawasan Pentadbiran. Mereka dihubungkan melalui Jambatan yang dipisahkan oleh sebuah tasik. Di sebuah kawasan penempatan penduduk pula, disediakan kemudahan-kemudahan seperti Pasar Awam, Bank, Medan Selera dan Gerai. 
Ini adalah antara perancangan awal untuk memudahkan para penduduk ini mendapatkan akses kepada perkara-perkara harian. Kebanyakkan bangunan disini didominasi oleh bangunan jenis Pengsapuri berbanding kawasan perumahan seperti rumah teres, banglo dan taman perumahan.
Apa yang menarik ialah jenis kawasan perumahan tanpa pagar yang dibina disini. Dapat dilihat melalui cara susunan rumahnya, ianya tidak seperti kawasan perumahan biasa. Perumahan teres disini dibina melalui cara bulatan dan diletakkan kawasan hijau yang mempunyai taman permainan kanak kanak dan pondok pondok untuk riadah ditengahnya.Ini adalah kerana untuk memberi respon kepada rancangan awal pembinaan Putrajaya sebagai sebuah bandar yang mengekalkan dan memulihara eko sistem melalui kawasan hijaunya.

Kawasan Rekreasi dan Hiburan.
(kawasan teras)

  Seperti apa yang telah ditulis, Putrajaya dibangunakan sebagai sebuah Bandar Dalam Taman dan dengan kewujudan beberapa buah taman tema disini, jelas sekali apa yang cuba dicapai oleh perekabentuknya. Untuk mewujudkan sebuah bandar dalam taman, bandar Putrajaya melalui sistem perancangan yang betul telah cuba memulihara kawasan hijaunya.Sebagai contoh bangunan Wisma Putra yang dibina di atas bukit di Persint 18. Dapat dilihat bentuk asal sebuah bukit dikekalkan. Hanya binaan bangunan dan jalan akses sahaja yang dibina. 
  Begitu juga tema taman-taman awamnya yang lebih bercorakkan kepada taman hijau. Ini dapat dilihat melalui pembinaan beberapa taman awam seperti Taman Warisan Pertanian yang berkonsepkan sebuah ladang yang didominasi tumbuhan hijau dan beberapa taman tema yang didirikan di sekitar tasik.
  Di sepanjang jalan juga turut ditanam dengan  tumbuhan hijau yang berfungsi sebagai tempat berteduh dan sebagai satu cara untuk mengimbangi diantara pembinaan dan pemuliharaan di sini.Selain itu, pusat membeli belah Alamanda dilihat sebagai salah satu cara penduduk disini untuk membeli belah dan sebagai satu cara aktiviti keluarga selain mengunjungi taman taman tema awam yang terdapat disini. Terletak di Percint 1, Alamanda dilihat sebagai sebuah kawasan penduduk Putrajaya berkumpul di hujung minggu. Tidak ketinggalan rekabentuknya yang turut mesra alam melalui pembinaan taman dan tasik buatan disekitarnya.